This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 2 Ogos: Dua geng dipercayai aktif melakukan kes pecah rumah dan curi kenderaan di daerah ini berjaya dilumpuhkan oleh Pasukan Operasi Khas IPD Kuching sejak 16 hingga 31 Julai.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua geng terbabit dikenali sebagai ‘Geng Piji’ dan ‘Geng Jalil’ yang terdiri daripada ahli-ahlinya yang berusia lingkungan 14 hingga 49 tahun.
Katanya, Geng Piji tumpas dengan tertangkapnya enam ahlinya termasuk seorang wanita.
“Dengan tumpasnya geng ini, kita percaya telah selesaikan enam kes dan satu daripadanya telah berjaya dituduh di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan lanjut, geng ini juga dipercayai turut terlibat 11 lagi kes yang disiasat di bawah Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah kereta, senapang angin buatan sendiri, selaras senapang patah dan 11 butir peluru.
“Tangkapan dan rampasan yang dibuat hasil daripada maklumat dan serbuan di enam lokasi berbeza di sekitar Kuching,” katanya.
Sementara itu, seramai 19 lagi suspek ditangkap dipercayai ‘Geng Jalil’.
“Tangkapan dan rampasan yang dibuat adalah hasil maklumat dan serbuan di sembilan lokasi berbeza di sekitar Kuching.
“Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga, empat buat motosikal, parang, kuku kambing, cutter dan enam gulung kabel,” kata Ahsmon.
Sebanyak lapan kertas siasatan berjaya diselesaikan dan empat daripadanya telah berjaya dituduh di bawah Seksyen 379,411 dan 457 Kanun Keseksaan.
Kesemua suspek yang ditangkap disahkan positif dadah dan ada dikalangan mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau.
“Polis menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran,” kata Ahsmon. — DayakDaily