Polis kesan ‘Ah Long’ bagi bantu siasatan kes ugut

Suspek yang dikehendaki oleh polis.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 7: Polis sedang giat mengesan seorang remaja lelaki yang dipercayai ‘Ah Long’ bagi membantu siasatan kes pinjaman wang tanpa lesen.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek yang dikesan polis dikenal pasti sebagai Yap Qi Wei, 19.


Katanya, sebelum itu polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengatakan dinding dan pagar rumahnya telah disembur dengan cat merah sebagai tanda amaran meminta dia membayar wang sebanyak RM4,000.

“Berdasarkan laporan, mangsa telah meminjam RM1,200 daripada suspek pada 12 Mei lepas, namun dipaksa untuk membayar balik pinjaman sebanyak RM4,000,” katanya, di sini, hari ini.

Mustafa Kamal menambah, pihak polis juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana disyaki menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

“Kes sama juga disiasat di bawah Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam 1951 kerana mengganggu atau mengugut peminjam,” tegas. — DayakDaily