Polis giat buru suspek tembak tiga lelaki

Suspek yang diburu polis.

KUCHING, Jan 28: Polis sedang memburu seorang suspek berusia 30 tahun yang menghilangkan diri selepas menembak dan mencederakan tiga lelaki dalam satu kejadian di sebuah restoran di Kuching City Mall Commercial Centre, Jalan Penrissen di sini tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam tadi berlaku ketika ketiga-tiga mangsa sedang minum di restoran tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, selepas melepaskan tembakan ke arah tiga lelaki itu, suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta Proton Waja.


Katanya, kejadian itu telah mengakibatkan ketiga-tiga lelaki masing-masing berusia 47, 42 dan 30 tahun cedera pada kaki dan perut mereka.

Tempat kejadian tembakan.

“Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Rumah Panjang Antas, Skrang, Sri Aman yang telah bergaduh dengan teman wanitanya sebelum dikatakan cuba ditenangkan oleh mangsa.

“Kejadian ini tidak melibatkan sebarang kumpulan penjenayah dan polis menasihatkan agar orang ramai tidak panik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, ketiga-tiga mangsa kini masih menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak di sini.

“Polis juga mohon maklumat awam untuk membantu siasatan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily