Polis diminta jalankan siasatan terhadap individu terlibat dalam penjualan tanah milik kerajaan

Tiong ketika pertemuan dengan mangsa di Tatau pada Selasa.
Advertisement

KUCHING, 18 Ogos: Pihak Polis dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) diminta menjalankan siasatan terhadap individu yang terlibat dengan kegiatan jual beli tanah milik kerajaan kepada penduduk luar termasuk warganegara asing.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing mahu tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Pihak yang terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah dan tindakan tegas perlu diambil supaya tidak ada pihak lain yang akan melakukan perkara yang sama,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan mangsa di Jalan Persisir Jepak ke Kuala Tatau pada Selasa.

Tambah Tiong, tanah tersebut merupakan tanah negeri tetapi ada individu yang tidak bertanggungjawab telah bertindak menjual tanah dalam bentuk lot kepada individu luar.

Katanya, perbincangan bersama-sama pihak yang berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan JTS Bahagian Bintulu bagi mencari jalan penyelesaian akan diadakan.

Tiong turut meminta mereka yang telah membeli lot-lot di tanah tersebut supaya bertenang dan menyerahkan perkara ini kepada Polis, JTS, BDA, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Pengurus Besar BDA Mohammad Yakub Kari semasa ditemui media menyerahkan kepada polis dan pihak berkuasa lain untuk menjalankan siasatan.

Katanya lagi, bagi individu yang ingin membeli lot tanah perlulah pergi kepada JTS agar tidak menjadi mangsa penipuan.

“Kita akan cuba mencari jalan penyelesaian dari semua segi.

“Bagaimanapun, kita tidak menjanjikan apa-apa, tetapi untuk rakyat akan ada jalan penyelesaiannya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Dennis Bunyam memberitahu pihaknya akan mengadakan siasatan menyeluruh sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan dalam kes ini.

“Kita berharap agar semua individu yang membeli lot tanah di kawasan terbabit tampil ke Balai Polis Daerah Bintulu dan membuat laporan polis secara rasmi untuk kita membuka kertas siasatan.

“Pihak polis akan bekerjasama dengan Jabatan Imegresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily.

Advertisement