Nahas di Jalan Bau-Krokong ragut satu nyawa

Kereta dinaiki mangsa remuk di bahagian hadapan akibat dirempuh.

BAU, 19 Ogos: Seorang wanita meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Bau-Krokong semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa ialah Valleri Lian,40 tahun dari Kampung Bijuray Moggang, Krokong.

Katanya, semasa kejadian mangsa bersama seorang lagi wanita menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah pada jam 6.48 petang.


Bagaimanapun, kereta mereka telah dirempuh sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan yang dikatakan terbabas dan memasuki laluan mereka.

Akibat rempuhan tersebut menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa anggota paramedik dari Hospital Bau.

Manakala pemandu kereta dilaporkan mengalami patah tulang rusuk serta kedua-dua kakinya dan dia telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Tiga lelaki, termasuk dua warga Indonesia yang menaiki Toyota Hilux tersebut dilaporkan turut mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan.

Turut hadir di lokasi kejadian ialah anggota dari Balai Bomba Bau untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam kereta.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily