Polis dan komuniti bersama memerangi gejala jenayah, kata Mawan

Mawan (tengah) menerima cenderamata daripada Seroji sambil disaksikan Ismuni (kanan) semasa program tersebut.

KUCHING, 17 Ogos: ADUN Pakan Tan Sri William Mawan berkata masyarakat dan polis tidak dapat dipisahkan, terutamanya di dalam situasi dimana semua pihak berusaha memerangi gejala jenayah.

Katanya, kedua-dua pihak iaitu komuniti dan polis saling memerlukan antara satu sama lain bagi mencapai matlamat tersebut.

Justeru beliau yakin konsep komuniti berorientasikan kepolisan memerlukan kerjasama padu dari komuniti sendiri, pihak polis, agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.


“Dengan menggunakan kepakaran, teknologi dan peralatan yang dimiliki oleh agensi-agensi, persatuan dan NGO, pihak polis dapat merealisasikan pencegahan jenayah dengan lebih berkesan,” kata Mawan.

Beliau berkata demikian pada Program Pelancaran Bengkel Komuniti Kepolisian Daerah Pakan di Dewan Masyarakat Pakan hari ini.

Tambah Mawan lagi, salah satu mekanisme yang boleh digunakan oleh pihak polis ialah menggunakan khidmat Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dalam operasi-operasi cegah jenayah.

“Berfungsi di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Rela masih lagi bergiat aktif pada hari ini terutama di kawasan luar bandar,” jelas Mawan sambil menambah Rela juga seringkali terlibat dalam pelbagai operasi.

Menerusi konsep ini, kata Mawan, masyarakat turut sama memainkan peranan dalam menentukan strategi dan terlibat secara langsung dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman di kawasan mereka.

Tegas Mawan, pencegahan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui konsep komuniti berorientasikan kepolisan di mana polis dan masyarakat bekerjasama sebagai satu unit.

“Polis adalah masyarakat dan masyarakat adalah polis. Secara tidak langsung, situasi ini akan memberi kesan kepada kawalan dan penurunan kes jenayah di Malaysia,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Polis Daerah Julau DSP Ismuni Omar dan Pegawai Daerah Pakan Seroji Ludin. — DayakDaily