KUCHING, 4 Okt: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk pembantu tekong sebuah bot pemancing yang dilaporkan karam di perairan Pulau Satang Besar memperluaskan kawasan pencarian.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) juga akan membantu pencarian melalui udara.
“Untuk makluman, kita ada memohon dengan Bomba dan PGU untuk bantuan pencarian melalui udara sebab melalui udara mudah untuk mengesan objek yang timbul.
“Bantuan melalui udara akan diperolehi esok, hari ini kita cuma dapat bantuan pemantauan melalui udara menggunakan dron oleh PGU,” katanya.
Katanya, keluasan pencarian pada hari ini merangkumi seluas 164.57 batu nautika dan melibatkan sepuluh aset pasukan penyelamat.
“Operasi hari ini menggunakan sebuah kapal dan dua bot penyelamat (APMM), dua bot penyelamat Bomba dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
“Beberapa bot pancing komuniti maritim turut membantu melakukan pencarian di sekitar perairan Pulau Satang,” katanya.
Jelasnya, mangsa dikenali sebagai Awang Omar Awang Hamsawi berusia 59 tahun antara 10 mangsa yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam tersebut semalam.
Bagaimanapun, sembilan mangsa iaitu termasuk tekong dan lapan orang pemancing berjaya ditemui orang awam pada awal pagi tadi.
Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya menerima aduan sebuah bot yang membawa lima pemancing masih belum pulang.
Usaha menjejaki bot tersebut juga sedang dijalankan selepas kali terakhir dilaporkan berada di kawasan perairan Karam Berumput iaitu 9.3 batu nautika dari Santubong.
“Operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 7 pagi tadi sejurus menerima aduan dan aset turut di atur gerak ke lokasi kejadian dan maklumat juga disalurkan kepada komuniti sekitar berkenaan dengan kejadian tersebut,” katanya.
Sehingga jam 5 petang tadi, pasukan penyelamat telah mengesahkan penemuan boya berwarna oren, dipercayai milik bot yang dilaporkan hilang. ā DayakDaily