KUCHING, Julai 23: Polis berjaya menahan sekumpulan tujuh perompak yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di Kota Sentosa dan Batu Kawa.
Jurucakap polis berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 33 tahun itu diberkas susulan maklumat serta risikan yang dilakukan sebelum ini.
Katanya, hasil serbuan itu, polis berjaya merampas sebilah pedang samurai dan 10 butir peluru pelbagai saiz.
“Polis turut merampas pelbagai barangan yang disyaki dicuri seperti tiga unit komputer riba, telefon bimbit dan tujuh barangan lain,” katanya.
Jurucakap sama menambah, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api 1960.
“Seksyen 457 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda dan jika disabit kesalahan,” katanya. — DayakDaily