Polis cekup tiga lelaki disyaki edar dadah

Dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Feb 25: Polis Serian berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi dua serbuan di sini hari ini.

Ketiga-tiga suspek berusia 29, 32 dan 36 tahun itu diberkas antara pukul 12 tengah malam dan 2 pagi.


Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, suspek pertama ditahan di Pasar Sayur Balai Ringin di sini.

Katanya, pemeriksaan tubuh badan telah dijalankan dan hasilnya telah menjumpai satu paket plastik lutsinar yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu di dalam beg kecil milik suspek.

“Berat dadah yang dirampas itu adalah 0.25 gram dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya di sini hari ini.

Aswandy menambah, dalam serbuan kedua, polis berjaya menahan dua lelaki di kawasan Ladang Salcra Melikin, Karangan dekat sini.

Katanya, pihak polis telah menahan sebuah kereta jenis Honda Civic yang digunakan kedua-dua suspek.

“Hasil pemeriksaan menemui satu beg bulat kecil di dalam kereta tersebut yang mana di dalamnya berisi 4 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 17.54 gram.

“Kedua-dua suspek kemudian ditahan dan kes disiasat di bawah Sek 39(a)(1) ADB 1952,” katanya.

Ujian air kencing kesemua suspek juga positif dadah amphetamine dan methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Kesemua suspek telah direman selama 4 hari untuk siasatan lanjut. — DayakDaily