Polis cekup tiga individu aktif pecah rumah

Pelbagai barangan yang dirampas daripada suspek.

BINTULU, Ogos 24: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah selepas berjaya memberkas seorang daripada suspek tersebut semalam.

Suspek pertama ditahan pada pukul 4.30 petang di Jalan Tun Hussein Onn di sini.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili, berkata suspek pertama diberkas selepas dia cuba memecah masuk sebuah rumah dengan mengumpil pintu belakang kediaman berkenaan.


Katanya, curiga melihat tindakan suspek, jiran kepada pemilik rumah berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) kemudian bergegas ke tempat kejadian sebelum berjaya menahan suspek.

“Sebelum diberkas, suspek tersebut terkejut dengan kehadiran anggota polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkipli menambah, penahanan suspek pertama kemudian membawa kepada tangkapan dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan kegiatan pecah rumah seperti pemutar skru, pisau lipat dan sepana boleh laras.

“Polis juga menemui wang tunai, telefon bimbit, kunci, beg galas, jam tangan, mata wang asing, resit pajak gadai, jaket dan kasut dipercayai daripada jenayah yang dilakukan suspek.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia itu antara 23 hingga 24 tahun,” ujarnya.

Sambil menambah, kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily