Polis cekup suspek kes bunuh wanita di Sibu

Suspek yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang wanita.

SIBU, Ogos 7: Cubaan seorang lelaki membunuh diri dengan meminum racun selepas menyedari dirinya diburu polis setelah dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua pada Ogos 2 lepas tidak berhasil apabila dia diberkas, hari ini.

Suspek ditangkap oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Julau kira-kira pukul 10.40 pagi di sebuah rumah panjang di Rumah Panjang Hong Sing Sing, Nanga Bilat, Julau dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berjaya dikesan dan diberkas hasil maklumat yang diterima daripada penduduk rumah panjang berkenaan.


Jelas beliau, semasa tangkapan itu, suspek telah bertindak meminum racun di dalam sebuah tandas di rumah panjang tersebut.

“Kita percaya suspek cuba untuk membunuh diri selepas menyedari kehadiran pasukan polis.

“Namun, dia telah memuntahkan racun berkenaan sebelum polis membawanya ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Stanley memberitahu, selepas mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, keadaan suspek dilaporkan stabil.

“Kita akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek dari Mahkamah Sibu esok pagi untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujar Stanley lagi.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang dipercayai ‘kenalan’ kepada seorang wanita yang ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua di sini sedang diburu polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Lelaki itu dikehendaki susulan maklumat yang diterima daripada rakan-rakan mangsa yang mendakwa simati sebelum ini ada memberitahu lelaki berkenaan ada berjumpa dengannya.

Berdasarkan maklumat, lelaki berkenaan ada datang di sekitar kawasan rumah sewa mangsa pada malam Ogos 1 lepas.

Ini mengukuhkan lagi dakwaan bahawa mereka saling mengenali, namun polis tidak mengetahui hubungan jelas antara simati dengan suspek. — DayakDaily