Polis cekup penganggur disyaki edar dadah

Barang rampasan polis daripada suspek.
Advertisement

KUCHING, Jan 14: Kegiatan haram seorang penganggur yang disyaki aktif dengan kegiatan pengedaran dadah sejak tahun lalu berjaya dipatahkan apabila lelaki itu ditahan di dalam sebuah kereta Honda Civic Hybrid di Jalan Kapor di sini semalam.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada pukul 7.30 malam.

Ketua JSJN Sarawak, Supt Sahar Abd. Latif berkata, suspek diberkas selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan suspek yang dipercayai mengedar dadah di sekitar kawasan bandar raya ini.

Advertisement

Menurutnya, hasil serbuan menemui 90.64 gram campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi yang disembunyikan di bawah pelapik kaki berhampiran pemijak brek kereta itu.

“Susulan tangkapan itu, polis telah melakukan serbuan di rumah suspek di Jalan Lapangan Terbang Baru kira-kira pukul 8.45 malam pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, hasil pemeriksaan di rumah suspek menemui satu kotak berwarna coklat bertulis Louis Vuitton yang disimpan di kediaman itu.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut menjumpai 114.45 gram campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi.

“Polis turut menemui 14.67 gram ketamin, 5.82 gram campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi, 1.75 gram Erimin 5 dan 0.51 gram ganja di rumah suspek.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM7,591,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — DayakDaily

Advertisement