Polis cekup lima lelaki, rampas dua senjata api

Kelihatan senjata api dan peralatan lain yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

BETONG, Okt 22: Polis menahan lima lelaki selepas disyaki memiliki dua laras senapang buatan sendiri dalam satu serbuan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Betong, Dsp Mohd Fadhil Antum Abdullah berkata, kelima-lima lelaki yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 41 tahun.


Jelasnya, kesemua mereka diberkas selepas terlibat dalam satu kejadian pergaduhan.

“Selain senapang, polis turut merampas beberapa peralatan lain seperti besi dan kayu disyaki digunakan dalam insiden berkenaan.

“Kita akan menahan reman mereka untuk siasatan selanjutnya,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” ujarnya. — DayakDaily