Polis cekup lelaki terlibat judi bola sepak

Royal Malaysia Police logo

SIBU, Sept 24: Tindakan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penganjuran perjudian perlawanan bola sepak liga antarabangsa mengundang padah apabila dia dicekup di sebuah kedai minum di Jalan Pahlawan di sini.

Suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sibu pada pukul 3.40 petang semalam.

Jurucakap polis berkata, semasa ditahan suspek tergamam dengan kehadiran anggota polis.


Katanya, polis telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek menjalankan aktiviti pertaruhan itu.

“Tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan sebelum itu.

“Menerusi serbuan itu, polis turut merampas wang tunai disyaki hasil pertaruhan perlawanan bola sepak itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, polis turut merampas kertas pertaruhan membabitkan perlawanan bola sepak berkenaan.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. — DayakDaily