Polis cekup lelaki terlibat dadah

Beg yang mengandungi dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Feb 10: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dicekup polis menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Agas Baru Jalan Matang di sini semalam.

Suspek berusia 38 tahun diberkas oleh ersama sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan pada pukul 5 petang.


Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, polis telah menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, dadah seberat kira-kira 5.40 gram itu seterusnya dirampas untuk dijadikan barang kes.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah kepunyaannya dan untuk kegunaan sendiri selain dijual kepada orang tempatan sekitar kawasan Matang.

“Suspek juga mula terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak enam tahun lepas,” katanya di sini hari ini.

Aidil menambah, siasatan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 Dan 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, suspek juga mengaku dadah itu diperolehi secara ‘bank in’.

“Hasil ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya. — DayakDaily