Lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar ke hutan

Pasukan SAR sedang berbincang mengenai operasi yang dijalankan.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Feb 10: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar ke kawasan hutan berhampiran Rumah Panjang Buda Meriok, Nanga Engkilili di sini semalam.

Mangsa yang dilaporkan hilang oleh anaknya dikenalpasti sebagai Langkau Belun, 85.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.42 malam.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergerak ke lokasi bagi meninjau persekitaran serta mendapatkan maklumat lanjut.

“Laporan awal mendapati mangsa telah keluar dari rumah panjang sekitar pukul 11 pagi ke kawasan hutan, namun tujuannya ke hutan belum dapat dipastikan.

“Anak mangsa yang menyedari akan ketiadaan ayahnya telah membuat laporan di Balai Polis Engkilili sebelum menghubungi BBP Sri Aman untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan SAR kemudian melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum gerakan itu ditangguhkan pada pukul 12 tengah malam.

Katanya, operasi sama yang dimulakan pagi tadi juga belum menemui mangsa.

“Maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujarnya. — DayakDaily