KUCHING, Ogos 5: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah di Jalan Stutong Baru di sini.
Jurucakap polis berkata, suspek berumur 35 tahun itu dicekup oleh anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada pukul 10.35 malam semalam.
Katanya, sebelum tangkapan itu, pihak polis yang sedang dalam operasi meronda telah mengesan pergerakan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.
“Pada mulanya, suspek bertindak seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang reaksi bersalah bagi mengaburi mata pihak polis.
“Namun, anggota polis tidak terpedaya dengan taktik suspek sebelum menahan serta melakukan pemeriksaan ke atas suspek,” katanya hari ini.
Jurucakap polis menambah, hasil pemeriksaan lanjut menjumpai pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah daripada suspek.
Jelasnya, antara peralatan yang dibawa oleh suspek adalah seperti parang pemotong daging, spanar, sarung tangan, playar, lampu suluh dan skaf kepala.
“Apabila ditanya mengenai peralatan itu, suspek gagal memberi alasan kukuh sebelum dia ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sekama untuk tindakan selanjutnya.
“Kes tersebut masih lagi dalam proses siasatan mengikut Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1957,” ujarnya lagi. — DayakDaily