Penduduk gempar mayat hampir reput ditemui dalam bilik

Royal Malaysia Police logo

MUKAH, Ogos 5: Penduduk di Kampung Petanak di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui mati di dalam bilik tidurnya.

Lebih memilukan, mangsa yang dikenali sebagai Nicholas itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tiga hari lalu ekoran mayatnya yang ditemui dalam keadaan hampir reput.

Menurut sumber, mangsa ditemui mati oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 7.30 malam semalam.


Katanya, ahli keluarga mangsa tidak menyedari mangsa ada di dalam biliknya kerana dia sering keluar menangkap ikan bersama rakannya.

“Adik mangsa yang curiga dengan abangnya (mangsa) tidak pulang ke rumah kemudian cuba mencarinya di sekitar kediaman mereka.

“Curiga terdapat bau busuk datang dari arah bilik abangnya, adik mangsa kemudian bertindak memecah pintu bilik sebelum menemui abangnya sudah mati dan mayatnya hampir reput,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, pemeriksaan polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Buat masa ini, kes ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat,” ujarnya lagi. — DayakDaily