Polis cekup lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah

Kelihatan dadah jenis syabu yang dirampas.
Advertisement

Oleh Dean Adam

PADAWAN, April 28: Seorang lelaki dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di tempat letak kereta di Landeh Commercial Centre, Batu 10 di sini semalam.

Suspek yang merupakan warga tempatan ditahan oleh sepasukan anggota polis kira-kira pukul 6.45 petang.

Advertisement

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek berjaya menemui satu paket lutsinar berisi 13 keratan straw disyaki diisi ketulan syabu.

Katanya, polis juga menemui satu plastik lutsinar berisi 10 paket plastik kuning bercorak tengkorak mengandungi ketulan syabu.

“Anggaran berat ketulan syabu yang dirampas adalah kira-kira 8 gram.

“Nilai rampasan ketulan syabu itu dianggarkan sebanyak RM800,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Merbin menambah, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ujarnya, ujian air kencing suspek juga positif amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga Mei 2 depan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. — DayakDaily

Advertisement