Polis cekup dua lelaki disyaki terlibat dadah

Kelihatan dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

BATU KAWA, Jan 23: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dicekup polis menerusi satu operasi di Pasar Sungai Maong Lama, Jalan Batu Kawa di sini malam tadi.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan pada pukul 7.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Dsp Merbin Lisa berkata, dua suspek terbabit diberkas selepas pemeriksaan polis dilakukan ke atas sebuah kereta yang dinaiki mereka.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui ketulan dadah disyaki jenis syabu dengan berat kasar 7.23 gram.

“Angaran harga dadah yang dirampas itu ialah sebanyak RM1,320,” katanya di sini hari ini.

Merbin menambah, hasil saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Januari 26 ini untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily