KUCHING, 11 Mei: Polis kini sedang memburu individu yang terlibat memukul seorang lelaki di hadapan sebuah pasar raya di Bintawa pada Ahad (9 Mei) yang tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa dalam satu kenyataan berkata, polis sudah mengenal pasti suspek yang terlibat.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.
“Hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan, kita telah berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat dan sedang dikesan untuk membantu siasatan,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 29 tahun dipukul menggunakan objek kayu serta paip getah oleh suspek dan video rakaman kejadian tersebut telah tular di media sosial.
Kejadian dipercayai berpunca setelah mangsa dikatakan mencuri barang dari lokasi kejadian.
Ujar Merbin, pihak polis memandang serius perkara tersebut dan menasihatkan supaya orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dengan membelakangkan undang-undang.
Orang ramai yang ada menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Safuan di talian 013-2037908. — DayakDaily