Suami maut, isteri parah dalam kemalangan di Jalan Bintulu-Miri

Pasukan Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BINTULU, 11 Mei: Seorang lelaki maut, manakala isterinya parah selepas keretanya dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan di Batu 18 Jalan Bintulu-Miri hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 5.46 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu terus ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah lori 10 tan yang rosak ditepi jalan.

“Seorang mangsa lelaki yang tersepit dibahagian pemandu kenderaan jenis Proton Saga berjaya dikeluarkan oleh anggota manakala seorang penumpang lagi iaitu isteri mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota tiba.

“Mangsa yang dikeluarkan oleh orang awam dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam manakala mangsa dikeluarkan oleh anggota diserahkan kepada ambulan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 61 tahun. Difahamkan mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas mendapati keadaan selamat dan terkawal. — DayakDaily