Polis buru lelaki disyaki kelar leher, perut seorang wanita Indonesia

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 26: Nyawa seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai makan di Pusat Komersial Stutong di sini nyaris melayang selepas dia cedera selepas dikelar di beberapa bahagian anggota badannya, dalam satu kejadian awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 1.30 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 36 tahun kehilangan banyak darah akibat dikelar di bahagian leher, perut selain di kepalanya.


Menurut sumber, mangsa cedera selepas dipercayai diserang seorang lelaki yang juga rakan senegaranya.

Katanya, kejadian itu disedari selepas orang awam yang minum di pusat komersial berkenaan terkejut melihat keadaan mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah.

“Orang awam kemudian bertindak menghantar mangsa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, pasukan polis kini sedang mengesan suspek yang dikenali sebagai Selamat selepas dia melarikan diri selepas kejadian itu.

“Buat masa, kita giat memburu suspek yang dipercayai bersembunyi selepas melakukan jenayah tersebut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. — DayakDaily