Polis buru eksekutif jualan bawa lari wang syarikat sebanyak RM90,000

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 18: Polis Sibu sedang mengesan seorang eksekutif jualan sebuah syarikat alat ganti selepas dipercayai melarikan wang sebanyak RM90,000.

Tindakan licik lelaki itu disedari oleh pengarah syarikat berkenaan selepas suspek tidak memasukkan wang tersebut ke akaun dalam milik syarikat tempat dia bekerja.

Ketua Polis Daerah Sibu, Acp. Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu memberitahu pihaknya giat mengesan suspek.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Sentral di sini yang dibuat oleh pengarah syarikat yang berusia 51 tahun.

“Buat masa ini, polis masih giat melakukan gerakan mencari dan mengesan suspek.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya hari ini.

Stanley menambah, siasatan awal mendapati suspek dikatakan memohon cuti daripada majikannya mulai Oktober 13 lepas.

Bagaimanapun katanya, dia tidak kembali ke pejabat semula selepas cutinya berakhir.

“Perkara itu terbongkar apabila pengarah syarikat berkenaan membuat semakan terhadap akaun syarikat, namun didapati wang berjumlah RM90,000 belum dimasukkan.

“Berang dengan tindakan suspek, dia kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily