Polis buka siasatan kes kebakaran ragut tiga nyawa di Kg Gita

Unit K9 Bomba membantu siasatan di lokasi kejadian.

KUCHING, 14 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menjalankan siasatan bersabit kes kebakaran rumah yang meragut tiga nyawa di Kampung Gita.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7.33 malam tadi.

“Pihak polis mengesahkan dalam tragedi tersebut, seramai tiga mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.


“Mangsa yang meninggal dunia ialah seorang pesara kerajaan iaitu lelaki berusia 69 tahun bersama anaknya (perempuan) berusia 33 tahun dan cucunya (perempuan) berusia 28 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Pihak polis turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak hari ini turut menghantar Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Seekor anjing diberi nama ‘Sue’ bersama penjaga Pegawai Bomba Maxwell Joe Richard membantu mencari punca kebakaran.

Siasatan lanjut masih dijalankan oleh Unit Forensik Kebakaran Bomba Sarawak.

Dalam beberapa laporan media, mangsa-mangsa kebakaran telah dikenalpasti sebagai bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Affandi Keli, 69, anak beliau Aneeqa Affandi, 35 dan anak saudaranya, Nor Hasyidah Ajis, 22.

Kematian ketiga-tiga mangsa dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Gita dipercayai akibat lemas oleh asap. — DayakDaily