BINTULU, April 4: Polis Bintulu berjaya membongkar taktik satu sindiket penjualan empat laras senapang angin menerusi Facebook (FB), semalam.
Kejayaan itu susulan tangkapan seorang lelaki berusia 33 tahun di Pusat Komersial Parkcity di sini pada pukul 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Bintulu Supt. Zulkipli Suhaili berkata, suspek tersebut ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Bintulu.
Katanya, semasa ditahan, polis turut merampas 19 bebola plastik dipercayai digunakan sebagai peluru senapang angin berkenaan.
“Polis juga merampas satu unit tabung gas yang berfungsi sebagai peledak senjata tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar, semalam.
Zulkipli menambah, siasatan lanjut mendapati suspek terbabit mendakwa memperoleh senapang angin itu dari seorang penjual menerusi FB antara tahun 2014 hingga 2016.
Katanya, suspek juga mengaku telah membeli selaras senapang itu dengan harga antara RM700 hingga RM1,400.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 36, Akta Senjata 1960,” ujarnya lagi. — DayakDaily