Polis berkas wanita rempuh sempadan ICQS Merapok selepas mengejar setengah jam

Kereta yang dipandu suspek telah disita untuk siasatan.

Oleh Brad Rantayy

LAWAS, 23 Feb: Seorang wanita warganegara Brunei ditahan selepas merempuh sempadan di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok, pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman, kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila kereta dari arah Sindumin, Sabah yang dipandu wanita berusia 28 tahun itu, tiba-tiba merempuh sempadan sebelum terus memecut ke Bandar Lawas.


Tindakan wanita terbabit ternyata membahayakan pihak berkuasa yang bertugas di sempadan berkenaan namun tiada kemalangan dilaporkan, ujar Roslan dalam satu kenyataan.

Ekoran itu, berlaku adegan kejar-mengejar kira-kira setengah jam sehingga menyebabkan kenderaan pasukan polis Lawas mengalami kerosakan akibat digeser kereta wanita tersebut sebelum kereta itu berjaya dihentikan.

“Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta berkenaan untuk memastikan suspek tidak melarikan diri,” katanya.

Susulan itu, suspek wanita terbabit dibawa ke Balai Polis Lawas untuk disoal siasat.

Hasil pemeriksaan lanjut, suspek didapati memiliki kad pengenalan negara Brunei namun tidak memiliki passport.

Kereta suspek, jenis Kia Cerato turut disita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. — DayakDaily