Polis berkas tiga ‘Ah Long,’ ugut peniaga tagih hutang anak

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Nov 4: Tindakan tiga lelaki dipercayai ‘Ah Long’ memeras ugut seorang peniaga selepas meminta hutang anaknya daripada lelaki warga emas itu membawa padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, sebelum itu, ketiga-tiga suspek telah datang ke rumah lelaki berkenaan di Kampung Kuap di sini kira-kira pukul 6.30 petang.


Katanya, ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 67 tahun itu dikatakan mengugut mangsa semasa meminta hutang anaknya sebanyak RM10,000.

“Ketiga-tiga suspek terbabit telah memberi amaran akan merampas kereta dan pelbagai barangan lain sekiranya peniaga berkenaan tidak membayar hutang bagi pihak anaknya.

“Mangsa yang bimbang akan keselamatan diri dan keluarga selepas diugut suspek kemudian bertindak membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Aidil menambah, susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis kemudian bertindak menahan ketiga-tiga suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati, seorang suspek memiliki 15 rekod kes jenayah lampau, manakala dua lagi tidak mempunyai kesalahan lama.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 385/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan,” ujarnya lagi. — DayakDaily