Lelaki nyaris maut, kereta rempuh pokok dan terhumban dalam parit

Anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 4: Berpantang maut sebelum ajal.

Demikianlah yang terjadi ke atas seorang lelaki yang terselamat selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Salim Stabau di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa yang berusia 40-an dilaporkan selamat, namun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.17 petang.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di tempat kemalangan, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Proton Persona dalam keadaan terhumban di dalam sebuah parit di bahu jalan berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang masih berada di dalam kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap sama memberitahu, selepas berjaya mengeluarkan mangsa, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut apabila mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan sebelum terhumban masuk ke dalam parit.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily