Polis berkas peniaga edar dadah

Dadah disyaki syabu yang dirampas.
Advertisement

MARUDI, Jan 28: Seorang peniaga kedai runcit ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Kampung Kayan Hilir, Long Lama di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Supt. Sahar Abdul Latif berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari JSJN Sarawak pada pukul 3 petang.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, lelaki Kayan tersebut sedang baring dalam sebuah bilik tidur di rumah tersebut.

Advertisement

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemui sebuah beg silang warna hitam berjenama Arrow pada badan suspek.

“Polis kemudian menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 50.75 gram,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sahar menambah, polis juga menemui dua paket plastik lutsinar masing-masing terdapat 30 paket plastik lutinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 44.45 gram.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut polis menjumpai satu paket plastik lutsinar terdapat 89 keratan tiub straw berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 11.90 gram.

“Polis juga menemui satu paket plastik lutsinar berisi sejumlah paket-paket plastik kosong pelbagai saiz,” ujarnya lagi.

Sahar memberitahu, siasatan awal mendapati suspek dikesan melakukan jenayah itu sejak tahun lalu.

Katanya, nilai dadah yang dirampas itu dianggarkan berjumlah RM25,000.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis metaphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement