Polis berkas pemuda miliki 10 laras senapang dan dadah

Kelihatan senjata api dan peluru yang dirampas daripada suspek.

SERIAN, Ogos 18: Seorang pemuda tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah dan pelbagai jenis senjata patah dan senapang angin menerusi serbuan sebuah rumah di Taman Anggerik Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis, berkata suspek berusia 21 tahun itu ditangkap pada pukul 10.40 pagi pada Khamis lalu.

Menurutnya, suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.


“Pemeriksaan tubuh badan suspek telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi  ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 0.84 gram di dalam beg pinggang warna hitam yang dipakai lelaki berkenaan.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya di sini hari ini.

Aswandy menambah, susulan penahanan suspek, polis kemudian membuat pemeriksaan lanjutan kebatas rumah lelaki tersebut di Taman Anggerik Indah.

Katanya, setelah sampai di rumah tersebut pihak polis telah menjalankan pemeriksaan ke atas satu bilik dan telah menjumpai lapan laras senapang angin, dua laras senapang patah buatan sendiri.

“Polis juga menemui 20 kotak kecil masing-masing berisi pellet (peluru) di atas rak besi dalam bilik tersebut.

“Senjata serta peluru tersebut kemudian dirampas sebagai barang kes untuk siasatan manakala suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Sambil menambah, beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya lagi. — DayakDaily