Polis berkas lelaki tempatan, sita dadah bernilai RM7,225

Ketulan berbentuk kristal (syabu) dan mampatan daun kering dipercayai ganja dirampas.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Jan: Anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri menahan seorang lelaki warga tempatan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dan ganja bernilai RM7,225 pada malam Selasa (12 Jan).

Tangkapan dibuat sekitar jam 7 malam, berhadapan sebuah rumah di Taman Ceria, Permyjaya di sini.

Sewaktu tangkapan, suspek berusia 45 tahun itu baru sahaja memarkirkan keretanya di depan rumah tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas suspek, anggota BSJN IPD Miri yang diketuai Inspektor Mohamed Basheer A G Sulaiman menemui dua bungkusan dipercayai syabu (berat kasar 61.5gm) dan mampatan daun-daun kering disyaki ganja (21.50gm) disorokkan di dalam sebuah kotak gula batu untuk sakit tekak.


“Siasatan awal mendapati suspek telah sembilan tahun terlibat dalam aktiviti mengedar dadah and modus operadinya adalah secara ‘on-call’ iaitu dia hanya akan menghantar bekalan dadah kepada pelangan selepas mendapat tempahan awal,” ujar Hakemal.

Beliau menambah, tangkapan dilakukan selepas intipan selama lima hari.

Kes disiasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily