Polis berkas lelaki India bantu kes penipuan pekerjaan

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

SIBU, Feb 14: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga India yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan tawaran pekerjaan yang melibatkan kerugian sebanyak RM2,400.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, suspek warga India berusia 22 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah KLIA.


Jelasnya, suspek terbabit ditahan di hadapan Gate P19 Perlepasan Antarabangsa KLIA2 pada pukul 9.25 malam.

“Suspek tersebut ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, pihaknya menerima laporan polis berhubung seorang lelaki India yang ditipu sebanyak RM2,400 oleh sindiket penipuan tersebut.

Katanya, setelah pembayaran dibuat, mangsa dijanjikan pekerjaan di syarikat perkapalan Grolite Shipping Company dan boleh bermula bekerja pada Februari 13 lalu.

“Mangsa kemudian mendapati tawaran pekerjaan tersebut adalah tidak wujud selepas suspek tidak dapat dihubungi dan disyaki telah melarikan diri,” katanya. — DayakDaily