Polis berkas 52 kaki judi minggu lepas

Anggota polis menahan individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram.

KUCHING, April 2: Polis Sarawak memberkas 52 kaki judi selepas mereka disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram pada minggu lepas.

Kesemua kaki judi itu ditahan menerusi 41 serbuan yang dilaksanakan di 14 buah daerah di seluruh negeri mulai mulai Mac 26 hingga April 1 lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, sebanyak 34 serbuan telah dilakukan di pusat-pusat menjual loteri haram.


Katanya, enam lagi serbuan dilaksanakan di premis judi siber dan satu serbuan di tempat judi terbuka.

“Hasil daripada 34 serbuan di pusat jual loteri haram, polis telah merampas wang tunai berjumlah RM12,251 serta pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti haram berkenaan.

“Polis turut merampas wang sebanyak RM2,706 serta lapan telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan judi siber,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dev menambah, daripada 52 individu yang ditangkap, 31 orang merupakan lelaki, manakala selebihnya wanita.

Katanya, kesemua yang ditahan itu berumur antara 17 hingga 57 tahun.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya lagi. ā€” DayakDaily