KUCHING, Feb 12: Seramai 160 kaki judi dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram sepanjang minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua kaki judi yang berusia antara 16 hingga 61 tahun itu ditahan menerusi 97 serbuan berasingan yang dilakukan mulai Feb 5 hingga 11 lalu.
Katanya, serbuan yang dilakukan melibatkan premis menjual loteri haram, pusat judi dalam talian, dan rumah persendirian dan tempat awam yang dijadikan pusat perjudian di 24 daerah di negeri ini.
“Kejayaan tangkapan pada minggu lalu merupakan yang terbesar direkodkan dalam tempoh seminggu.
“Wang tunai sebanyak RM45,649 dipercayai hasil kegiatan judi haram serta pelbagai peralatan seperti kalkulator, telefon bimbit, pencetak mudah alih dan kertas pertaruhan juga dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dev memberitahu, serbuan itu dilakukan di Miri, Kuching, Betong, Padawan, Sibu, Bintulu, Bau, Saratok, Kota Samarahan, Serian, Simunjan, Sarikei, Limbang, Kapit, Sri Aman, Mukah, Matu, Daro, Marudi, Meradong, Tatau, Lundu, Kanowit dan Lawas.
Katanya, kesemua individu tersebut telah ditahan reman untuk siasatan lanjut.
“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Perjudian Rumah Terbuka 1953,” ujarnya lagi. — DayakDaily