Polis: Bendera parti diturunkan untuk tujuan dipindahkan, bukan khianat

Tangkap skrin dari video yang dirakamkan oleh orang awam.

KUCHING, 8 Nov: Seorang lelaki yang dirakam mencabut 21 batang bendera milik Gabungan Parti Sarawak (GPS), di Jalan Pending di sini hari ini merupakan kontraktor yang dilantik.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata perbuatan tersebut disahkan bukan perbuatan khianat tetapi bertujuan untuk memindahkannya ke lokasi lain.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi hari ini.


“Pihak jentera parti GPS telah mengesahkan bahawa bendera-bendera tersebut diturunkan oleh kontraktor dilantik untuk dipindahkan ke lokasi lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru beliau menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sebarang isu pilihan raya bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berjalan dengan lancar dan dalam suasana harmoni. — DayakDaily