PN Sarawak rakam penghargaan kepada GPS

Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian

KUCHING, 8 Ogos: Perikatan Nasional (PN) Sarawak merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan PN.

Pengerusinya Senator Jaziri Alkaf turut berkongsi pandangan dengan GPS yang menyifatkan keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan sebagai satu tindakan berani dan bijak.

Katanya, ia langkah terbaik dalam menyelesaikan kemelut politik yang melanda dengan berlandaskan Perlembagaan Negara.


“Pendirian GPS menyifatkan tindakan pembangkang cuba mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan kepimpinan berjiwa besar Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) bersama barisan kepimpinannya dalam mempertahankan hak dan keselamatan rakyat dalam segala tindak tanduknya terutama dalam keadaan pandemik ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Jaziri, matlamat dan keutamaan untuk rakyat adalah perkara yang dikongsi bersama oleh PN dan GPS dalam menangani masalah pandemik.

Jelas beliau, kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi melalui agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kini sedang rancak dilaksanakan.

“Oleh itu saya turut sama berharap agar semua Ahli Parlimen dapat bersikap rasional demi rakyat dan menyelesaikan masalah pandemik secara bersama.

“Hentikan politiking kerana mereka boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan,” katanya. — DayakDaily