PKR sekali lagi gesa Kerajaan isytihar Belaga sebagai Bahagian

Abun Sui Anyit

KUCHING, 8 Ogos: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak sekali lagi menggesa kerajaan untuk mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian Ke-13.

Ketua Penerangannya Abun Sui Anyit berkata, peluang terbentang luas untuk Kerajaan Sarawak melakukannya setelah 58 tahun memerintah negeri ini.

“Mandat Kerajaan Sarawak sebenarnya tamat pada 6 Jun, 2021 dan mereka masih tidak mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian.


“Peluang kedua muncul ekoran Darurat 2021 diisytiharkan sehingga 1 Ogos, tetapi tidak juga Kerajaan Sarawak mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian Ke-13.

“Sekali lagi sekarang, peluang ketiga terbentang luas apabila Darurat Sarawak 2021 diisytiharkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abun yang juga wakil Orang Asal Daerah Belaga, kuasa eksekutif untuk mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian ada di dalam Ordinan Darurat Sarawak 2021.

Justeru beliau menggesa kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab sekarang kerana rakyat Daerah Belaga menunggu. — DayakDaily