PM ucap selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh Keluarga Malaysia

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 2 Mei: Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam.

Dalam Perutusan Aidilfitri 2022 semalam, beliau menggesa Keluarga Malaysia untuk memanfaatkan kelonggaran Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) Covid-19 mulai semalam untuk menyantuni ibu bapa, ahli keluarga dan sahabat bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim.

“Luangkan masa mengunjungi rumah terbuka dan menziarahi pusara.


“Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, pastikan kita terus mengamalkan kawalan kendiri walaupun banyak kelonggaran telah diberikan demi keselamatan diri dan keluarga tercinta.

“Bagi anda yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya, pandulah dengan penuh cermat dan berhemah agar sampai ke destinasi dengan selamat,” kata Ismail Sabri.

Bagi memeriahkan lagi Syawal kali ini, tambah beliau, kerajaan telah mengumumkan pemberian tol percuma di sembilan lebuh raya termasuk laluan utara selatan dan pantai timur.

Pada masa yang sama, sebanyak 21 lebuh raya turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus.

Menurut Ismail Sabri lagi, solidariti Keluarga Malaysia telah menjadi teras untuk kerajaan memberi fokus terhadap usaha memacu pemulihan negara, agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa melalui pelbagai strategi yang dirangka.

Katanya, kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat dan keputusan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 membolehkan Keluarga Malaysia membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 sebanyak RM500 bagi penjawat awam, ujar beliau, sedikit sebanyak diharap dapat dimanfaatkan oleh Keluarga Malaysia untuk lebaran.

“Di kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam walau di mana anda berada,” katanya. — DayakDaily