PM: Pick beri hasil positif di Sarawak, kes kategori tiga hingga lima turun

File photo depicting a dose of a Covid-19 vaccine being prepared. Photo source: Flickr, Creative Commons License

KUCHING, 15 Ogos: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) mula melihat perkembangan awal yang positif di Sarawak dan di beberapa buah negeri lain, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain Sarawak katanya, Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut melihat perkembangan positif.

“Semalam buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di WP Labuan.


“Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5.

“Ini berlaku apabila liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa 18 tahun dan ke atas telah melebihi 40 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama tambah Muhyiddin, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

Sebagai contoh katanya, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.

“Pada 31 Julai 2021, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang.

“Hasil perancangan rapi Kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021,” ujar beliau.

Muhyiddin amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun jelas beliau, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa.

“Oleh itu, segeralah mendaftar untuk dapatkan vaksinasi, termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi.

“Majikan juga perlu mainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi,” kata Muhyiddin. — DayakDaily