PM: Pakej Permai, bayaran pendahuluan i-Sinar mulai 26 Januari

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

KUCHING, 18 Jan: Kerajaan menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) akan menambah baik kemudahan i-Sinar.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah meminta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memudahkan proses pembayaran pendahuluan yang akan dibuat mulai 26 Januari.

“Kerajaan menambah baik kemudahan i-Sinar, terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta bencana banjir.


“Kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2,” katanya pada pengumuman pakei Permai hari ini.

Tambah Muhyiddin, proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan.

Katanya, ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.

Menurut Muhyiddin lagi, maklumat lanjut berhubung penambah baikan i-Sinar akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat.

Kemudahan i-Sinar telah dibuka kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 bermula 21 Disember yang lepas.

Setakat 13 Januari, lebih 3 juta permohonan telah diluluskan dengan jumlah 24 bilion ringgit akan disalurkan pada tahun ini. — DayakDaily