PM, Menteri Undang-Undang akan bincang cara tangani orang muda bankrap

Ismail Sabri bergambar bersama peserta yang hadir di Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional di WTCKL hari ini (26 Jun 2022). Foto: Akaun Facebook Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 26 Jun: Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai cara untuk menangani masalah kebankrapan dalam kalangan orang muda.

Beliau meluahkan rasa bimbang setelah melihat jumlah individu yang bankrap ketika ini dan bimbang jika jumlah itu melonjak naik.

“Kerajaan pernah menaikkan threshold (ambang) sewaktu pandemik dulu untuk menangguhkan undang-undang yang melibatkan kebankrapan dan threshold telah dikaji semula.

“Insya-Allah saya akan berbincang dengan Menteri Undang-Undang (Wan Junaidi) untuk melihat akta serta undang-undang tersebut,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan Program Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ismail Sabri juga memberitahu bahawa beliau akan berjumpa dengan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, untuk melihat dari segi undang-undang jika boleh ditangguhkan lagi.

Pada tahun 2020, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi menaikkan nilai ambang hutang minimum untuk mengemukakan petisyen kebankrapan daripada RM50,000 kepada RM100,000. — DayakDaily