PM: Kerajaan Negeri diberi kelonggaran tambahan penggunaan pemberian MARRIS

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 26 April: Kerajaan Negeri diberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion untuk tahun 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang dan pembentung.

Katanya, ia termasuk kerja pembaikan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.


“Kerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri pasca banjir Monsun Timur Laut 2021/ 2022 yang lepas.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Ini dilaksanakan dengan memperluaskan lagi skop perbelanjaan MARRIS untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini Ismail mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri oleh Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri dari semua negeri.

Sehubungan itu kata Ismail, Kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan Pemberian MARRIS.

Mesyuarat juga setuju meningkatkan peruntukan pindahan fiskal ekologi daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

Ujar Ismail, insentif kewangan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin, Kerajaan negeri akan diberi insentif kewangan

“Caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).

“Jawatankuasa akan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semual formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian TAHAP,” katanya.

Jelas Ismail, ini adalah komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing. — DayakDaily