PM Anwar akui Abang Johari dan Hajiji berbicara terang, menegur cara baik sebagai sahabat

Dato Seri Anwar Ibrahim (file photo)
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KOTA KINABALU, 16 Sep: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akui beliau menaruh keyakinan penuh terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Katanya, sebaik sahaja menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau mendapat sokongan dan kerjasama baik dari Abang Johari dan Hajiji.

Advertisement

“Saya akui ada masalah kita harus selesaikan tetapi saya bernasib baik, sebaik menjawat jawatan PM, dua sahabat yang saya menaruh keyakinan penuh.

“Ketua Menteri Sabah (Hajiji) dan Premier Sarawak (Abang Johari) bermuafakat, berbicara dengan terang.

“Menegur dengan baik sebagai sahabat, mengeluh, menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk jayakan Malaysia, dan saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar dari semangat yang mereka tunjukkan,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian di Sambutan Hari Malaysia 2024 di Dataran Merdeka di Kota Kinabalu malam ini.

Tambah Anwar, adalah tidak benar kalau dikatakan mereka (Abang Johari dan Hajiji) tidak menuntut, tidak mengeluh atau tidak memohon, sepertimana juga beliau akan meminta dan memohon daripada mereka.

Tetapi jelas Anwar, semangat perpaduan demi menjayakan Malaysia tetap ada.

“Tiada negeri yang tidak bermasalah. Tapi apa yg saya sebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tak pernah kita putuskan bahawa kalau kita mahu berjaya, siapa saja PM, siapa saja menteri, siapa saja yang menjadi pemimpin, dia mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia,” tegas Anwar.

Hadir sama Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin serta Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah R.M. Jasni. — DayakDaily

Advertisement