PKS disaran manfaat perniagaan secara digital untuk kekal berdaya saing — Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, 29 Jun: Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu mengadaptasi dan memanfaatkan perniagaan secara digital, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, ia adalah sebagai langkah ke hadapan dalam merancakkan pembangunan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

“Kita merasa bertuah dan bersyukur kerana Ketua Menteri Sarawak telah memperkenalkan inisiatif memperkasakan ekonomi digital sejak tiga tahun lepas.


“Masyarakat secara umumnya sedar tentang kepentingan ekonomi digital. Ini terbukti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana ramai masyarakat dan peniaga menggunakan platform digital untuk berurusan dan berniaga.

“Ianya bukan setakat berlaku di bandar, malahan di luar bandar,” katanya pada sesi temuramah bersama Astro Awani Jumaat (26 Jun) lepas.

Dengan mengadaptasi teknologi terkini seperti IR 4.0, Awang Tengah yakin PKS akan lebih berdaya saing.

Ini katanya akan memberi kekuatan kepada mereka untuk kekal dalam landskap dunia perniagaan baru.

Tambah beliau, Sarawak telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak yang bertujuan untuk merancak dan memperkasakan pembangunan ekonomi pasca pandemik Covid-19 bagi tempoh 10 tahun (2020-2030).

Bidang–bidang yang diberi penekanan adalah pengeluaran dan pembangunan usahawan, perlombongan, perhutanan, pelancongan, pendidikan dan pembangunan modal manusia, tenaga boleh diperbaharui,
inovasi dan pusat data, perkhidmatan dan infrastruktur dan pertanian komersil.

“Untuk itu, kita memerlukan kolaborasi yang mantap antara pihak kerajaan dengan pihak swasta, institut pengajian tinggi, dewan-dewan perniagaan, kewangan dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk merangka pelan pembangunan tersebut,” ujar beliau. — DayakDaily