Penubuhan taska dan tadika harus dipersetujui jiran, kata Fatimah

Fatimah (duduk dua dari kiri) pada sidang media di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Jun: Penubuhan taska atau tadika swasta di kawasan perumahan harus mendapat persetujuan daripada jiran, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, jika ada seorang jiran membantah, tadika atau taska tidak dibenarkan beroperasi dan tidak boleh didaftar untuk tujuan mendapatkan lesen.


“Ada orang yang tidak suka suasana bising dan suara kanak-kanak, apatah lagi jika ada yang menangis.

“Kita tidak mahu jiran menghadapi tekanan, kemudiannya dia akan marah dan ini sudah tentu akan menakutkan kanak-kanak.

“Tadika atau taska harus beroperasi di dalam suasana damai dan selamat. Dengan itu proses pendidikan, bimbingan dan pengajaran akan berlaku dengan optima,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur Petra Jaya hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri perbincangan berhubung institusi pendidikan awal kanak-kanak bersama pegawai-pegawai dari agensi teknikal pendaftaran taska dan tadika swasta.

Fatimah memaklumkan bahawa dalam tempoh 1 Januari 2020 sehingga 31 Mei 2020, terdapat 9 taska dan 3 tadika gagal didaftar kerana mendapat bantahan daripada jiran.

Pada mesyuarat tersebut tambah Fatimah, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah memberi komitmen bahawa kelulusan boleh diberikan dalam tempoh 35 hari jika permohonan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Selain kelulusan daripada jiran-jiran, lokasi taska atau tadika mesti tidak di kawasan trafik yang sibuk dan jalan mati,” katanya.

Menurut Fatimah lagi, lesen operasi taska diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) manakala lesen tadika pula diluluskan Jabatan Pendidikan Sarawak (JPS).

Berhubung proses pembaharuan lesen, beliau berkata ia sepatutnya boleh dilakukan dengan mudah jika tiada perubahan kepada struktur bangunan dan tenaga pengajar.

Selain JKMS dan JPS, agensi teknikal yang lain adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Kesihatan.-DayakDaily.