KUCHING, 6 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menubuhkan satu jawatankuasa sekretariat kerakyatan peringkat negeri Sarawak untuk membantu rakyat memohon kerakyatan.
Ketua Penerangan PKR Sarawak Diog Dios berkata, pihaknya telah membahagikan kerangka kepada beberapa Zon.
Katanya, ia untuk memudahkan dan melancarkan perhubungan dengan rakyat yang ingin memohon kerakyatan.
“Zon Utara meliputi Bahagian Miri, Bahagian Bintulu dan Bahagian Limbang.
“Zon Tengah meliputi Bahagian Sibu, Bahagian Sarikei, Bahagian Mukah dan Bahagian Betong.
“Zon Tengah Barat meliputi Bahagian Kapit dan Hulu Rajang.
“Zon Selatan meliputi Bahagian Sri Aman, Bahagian Serian, Bahagian Samarahan dan Bahagian Kuching, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dios, PKR memandang serius tentang rakyat Sarawak terutama di kawasan pendalaman yang masih belum memiliki sijil lahir dan kad pengenalan.
Katanya, jalan perhubungan merupakan satu halangan bagi mereka yang tinggal di pendalaman untuk mengurus hal sedemikian dan juga masalah kewangan.
“Namun kita tidak boleh memandang ringan tentang perkara ini sebab ia akan menjejaskan peluang mereka untuk mendapat bantuan daripada kerajaan,” ujar Dios. — DayakDaily