LIMBANG, Ogos 27: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan tidak akan mengambil calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) kelak.
Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata, hanya calon dari Pakatan Harapan (PH) yang layak ditampilkan sebagai calon pilihan raya negeri akan datang.
Menteri Kerja Raya itu menambah, PH juga akan terus berjuang membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat di negeri ini.
“Kejayaan PH mengambil alih kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lepas adalah ‘mukjizat’ terbesar dalam politik di Malaysia.
“Saya juga yakin keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH semakin baik kerana mereka mahukan Malaysia ditadbir urus dengan telus dan adil,” katanya di sini semalam.
Sebelum itu, beliau telah menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran PKR Cabang Limbang.
Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau memberitahu, PKR Sarawak juga tidak menghalang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak kelak.
Bagaimanapun kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan itu, sebarang keputusan berhubung perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu bagi mencari kata sepakat.
“Kita mesti jelas dengan perjuangan kita barulah kita akan mencapai matlamat dan kejayaan.
“Justeru rakyat haruslah memilih parti politik secara bebas bukannya atas dasar perkauman,” ujarnya lagi. — DayakDaily