PKR terima 2,500 borang keahlian baharu dari Saribas

Melainie (kiri) menyerahkan borang keahlian baharu PKR kepada Baharuddin (tengah) di di Dewan Kampung Bungin, Saribas.

BETONG, Julai 17: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima 2,500 borang keahlian baharu untuk menyertai parti berkenaan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di sini.

Penyelaras PKR Dun Saribas, Melainie Bolhassan berkata, pihaknya kini dalam proses menambah keahlian PKR dengan mengambil pendekatan mesra dan memahami.

Katanya, jumlah keahlian baharu yang direkrutkan itu adalah dalam tempoh dua minggu sahaja dan ia jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap PKR.


“Rakyat termasuk generasi muda nampaknya sudah mula sedar bahawa mereka sebelum ini dipergunakan oleh pakatan pembangkang.

“Mereka kini kembali yakin dengan perjuangan kita dan mengharapkan Pakatan Harapan (PH) dapat meneruskan agenda pembangunan bangsa dan negara,” katanya.

Dalam majlis sama, dia telah menyampaikan borang keahlian baharu itu kepada Pengarah Pilihan Raya PKR, Dato’ Baharuddin Mohsen di Dewan Kampung Bungin, Saribas di sini.

Melainie menambah, program menambah keahlian pergerakan tersebut dilihat tepat pada masanya memandangkan momentum kepercayaan rakyat kini lebih memihak kepada PH.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 30 ranting PKR baharu juga telah diwujudkan di kawasan Saribas.

“Rata-rata rakyat di sini sudah yakin dengan PKR dan kerajaan pusat yang diterajui PH kini malah mula memberi sokongan padu kepada kerajaan semasa.

“Keadaan tersebut memberi petunjuk yang jelas bahawa rakyat kini sudah bosan dengan kerajaan sebelum ini yang tidak berupaya melaksanakan tugas dengan baik,” ujarnya. ā€” DayakDaily