PKR Sibuti gesa umat Islam amal norma baharu pada sambutan Aidilfitri

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 10 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sibuti menyifatkan pandemik Covid-19 mungkin tidak akan berakhir dalam jangka masa yang terdekat.

Menurut ketuanya Zulhaidah Suboh, ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di Sarawak pada masa ini.

Justeru, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, beliau menyeru seluruh umat Islam untuk mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan.


“Seperti pada tahun lepas (2020) ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak disambut seperti lazim.

“Tiada rumah terbuka dan hanya berhimpun bersama ahli keluarga terdekat dibenarkan dalam situasi semasa penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zulhaidah, dalam situasi norma baharu, semua sedang melalui satu tempoh yang penuh menguji kesabaran dan daya ketahanan.

Namun, katanya, pengorbanan yang lakukan ini bakal membuahkan hasil iaitu diri dan keluarga terselamat daripada jangkitan Covid-19.

“Kita menyelamatkan orang lain daripada terkena jangkitan dan juga kita semua berperanan menyumbang kepada usaha membendung penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat,” ujar beliau.

Beliau mengingatkan masyarakat untuk tidak alpa dan saling ingat mengingati.

“Amalkan norma penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai pelitup muka di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala.

“Sambutlah perayaan pada tahun ini dengan mengamalkan amalan norma baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul dan tidak bersalaman di hari lebaran pada tahun ini,”kata Zulhaidah. —DayakDaily